Ilmu ‘Aqli

Bagikan postingan

Ilmu Tasawuf

Ilmu ‘Aqli
Ilmu ‘Aqli atau ilmu yang berproblem lagi musykil. Ilmu yang boleh berlaku SALAH atau BETUL. Ia terletak pada tiga tingkat iaitu:
Tingkat Pertama
Tingkat mula-mula, Ilmu Matematik dan Ilmu Logik(Manthiq). Dari Ilmu Matematik lahir Ilmu Hisab yang membicarakan tentang angka-angka, geometri (ilmu ukuran-ukuran dan bentuk-bentuk), Ilmu Astronomi(berhubung dengan falak, bintang-bintang, kawasan-kawasan bumi dan apa-apa yang berhubungan dengannya). Terbit dari Ilmu Astronomi ini sebagai cawangannya ialah Ilmu Astrologi(Ilmu Nujum dan hukum-hukum dan Horoskop). Dari Ilmu Matematik itu lahir pula ilmu-ilmu muzik yang membicarakan tentang nisbah tali-tali alat bunyi.
Ada pun ilmu logik adalah membicarakan tentang cara menentukan had (Al-Had ) dan Resam (Al-Resam) dalam sesuatu yang dapat dicapai dengan konsep (Tasawwur). Juga ia meninjau dari cara qias ( Al-Qias ) dan bukti ( Al-Burhan ) dalam ilmu-ilmu yang dicapai dengan pengakuan (Al-Tasdiq). Ilmu Logik berpusing di sekitar kaedah ini.
– Bermula dari kata-kata tunggal,
– Kemudian kata-kata bersusun,
– Kemudian khasiat-khasiat
– Kemudian qias
– Kemudian bahagian-bahagian qias
– Kemudian matlamat bukti(Mutholib Al-Burhan).
Inilah dia penghabisan Ilmu Logik.

Tingkat Kedua
Tingkat tengah ini ialah Ilmu Tabie. Ilmu Tabie ini ialah suatu ilmu yang membicarakan tentang:
– Jisim Mutlak(Jisim semata-mata jisim yang terdiri dari benda dan rupa tanpa ikatan dengan mana-mana ruang. Di sini dibicarakan tentang pembahagian-pembahagian jisim, gerak, perubahan dan apa yang berhubung dengan gerak itu seperti zaman, ruang dan kosong) dan
– Rukun-rukun Alam (membicarakan tentang langit-langit dan empat anasir yang berada daripada bahagian bawah falak bulan, tabiat-tabiat anasir itu dan lain-lain),
– Jauhar-jauhar dan ‘Aradh,
– Gerak dan Diam, tentang Hal Ehwal Langit,
– Sesuatu Yang Berupa Tindakan dan Kesan Tindakan.
– Dari ilmu ini, lahir perbicaraan tentang:
– Hal-ehwal Tingkat-tingkat Maujudah,
– Bahagian-bahagian Jiwa
– Mizraj dan
– Kualiti Deria dan
– Cara Pencapaiannya Terhadap Sesuatu Yang Dapat Dicapainya.

Kemudian membawa kepada perbicaraan tentang ilmu kedoktoran iaitu ilmu mengenai badan-badan, penyakit-penyakit, ubat-ubat, pengubatan dan apa yang berhubung dengannya. Di antara cawangan Ilmu Tobie ialah
– Ilmu Kesan-kesan Atas
– Ilmu Benda-benda Galian
– Pengetahuan Khasiat Benda dan berakhir pada
– Ilmu Perusahaan Kimia iaitu pengubatan jasad-jasad yang sakit pada bahagian-bahagian dalam benda-benda galian.

Tingkat Ketiga.
Ini adalah tingkat tertinggi yang membicarakan tentang
– MAUJUD kemudian
– membahagikan kepada “WAJIB” (tiap-tiap apa yang wujudnya dari zatnya sendiri bukan dari yang lain. Wujud yang begini keadaannya ialah wujud Allah, sebab inilah diistilahkan dengan “WAJIBAL WUJUD” ertinya “Yang Wajib Ada”) dan
– “MUMKIN” (tiap-tiap yang wujudnya bukan dengan zatnya sendiri, malah bergantung dengan zat yang lain. Kalau tidak ada zat yang lain ini, maka ia tidak. Wujudnya yang begini keadaannya adalah wujudnya makhluk. Sebab itulah makhluk diistilahkan dengan “MUMKINAL WUJUD” ertinya “Yang Mungkin Ada”). kemudian
– membicarakan tentang Penciptanya dan ZatNya
– segala sifat-sifatNya,
– perbuatan-perbuatanNya,
– perintah-perintahNya,
– hukum dan qadaNya serta
– susunan kelahiran maujudah daripadaNya, kemudian
– membicarakan tentang sesuatu yang tinggi(Al-‘Uluyah)
– Jauhar-jauhar Mufrad,
– Akal-akal Abstrak, dan
– Jiwa Yang Sempurna kemudian
– membicarakan tentang malaikat-malaikat dan syaitan-syaitan
– dan berakhir dengan Ilmu Nubuwah,
– soal-soal mukjizat dan
– hal-ehwal keramat, dan kemudiannya
– membicarakan hal-ehwal Jiwa-jiwa Suci,
– hal-hal tidur dan sedar dan maqam-maqam mimpi.

Di antara cawangan-cawangannya ialah
– Ilmu Tillasmaat (Ilmu membuat tangkal atau azimat) dan
– Ziijaat (ilmu yang membicarakan tentang kedudukan falaniah-falaniah) dan
– apa yang berhubungan dengannya.
– Ilmu-ilmu ini mempunyai perincian-perincian, lapangan-lapangannya dan tingkat-tingkatnya yang memerlukan ruangan yang lanjut. Tetapi sudah cukuplah dengan ringkasan ini.

Comments are closed.